8 GEJALA ATAU PETANDA SESEORANG MENGALAMI KEMURUNGAN

by azszua03 on 16 December 2017

Assalamualaikum…

Kalau semalam kak miah dah cerita dan jelaskan tentang apa itu kemurungan, hari ni kak miah nak cerita pula gejala atau simptom bagaimana kemurungan ini dikesan. Kemurungan tidak terus terjadi ya, ia ambil masa yang panjang sebelum kita klasifikasikan ia sebagai kemurungan.

Kenapa kita kena kenal gejala kemurungan?

Mestilah kena kenal gejala gejala kemurungan supaya kita sedar bila ada orang sekeliling kita, orang yang kita sayang yang mengalami gejala ini dan kita boleh bertindak membantu mereka segera supaya tidak berlaku kesan buruk akibat kemurungan. Kebiasaannya si tuan badan tidak sedar ia sedang mengalami gejala atau simptom kemurungan ini. Jom saya terangkan gejalanya satu persatu.

1.Tempoh tidur terlalu panjang atau pendek.

Gangguan tidur adalah antara gejala yang paling kerap dikesan. Sesetengah mereka akan mengalami tempoh tidur yang lama dari biasa manakala sesetengah lagi akan memgalami tempoh tidur yang pendek atau ada juga yg mengalami insomnia. Gangguan emosi dan fikiran menyebabkan kejadian ini berlaku.

2. Hilang minat terhadap aktiviti yang menyeronokkan.

Gejala kemurungan yang senang dilihat juga adalah apabila mereka yang mengalaminya mula menjauhkan diri dari aktiviti aktiviti yang menyeronokkan atau yang disukainya sebelum ini. Mereka juga ingin mengasingkan diri dari orang sekeliling dan juga kawan kawan serta dengan ahli keluarga mereka sendiri.

3. Lemah, lesu dan tidak bersemangat.

Tidak bersemangat untuk melakukan aktiviti harian, kelihatan lemah dan lesu adalah antara gejala yang dapat dilihat juga. Pernah dengar tak (untuk muslim) waktu berada di fasa tidak bersemangat, lemah inilah segala anasir jahat, syaitan dan nafsu suka mengelirukan. Diwaktu inilah iman atau kepercayaan seseorang mudah dipesongkan. Manusia normal sentiasa mempunyai tujuan dan matlamat hidup. Setiap hari bangkit dari tidur sudah ada aktiviti yang diaturkan. Tetapi tidak agi mereka yang mengalami kemurungan.

4. Selera makan semakin berkurang atau bertambah.

Antara sebab lemah dan tidak bersemangat ialah kerana kurangnya nutrisi dalam badan. Ini disebabkan gejala kurang selera makan. Tetapi ada juga kes disebaliknya, bila stress dan menghadapi tekanan, seseorang semakin luar biasa selera makannya.

5. Daya tumpuan semakin berkurangan.

Gejala kurangnya daya tumpuan biasanya kita akan lihat si penghidap kerap kali leka atau seperti berada dalam dunia yg lain. Seperti berada dalam dunianya sendiri tanpa hiraukan orang sekeliling walaupun berada dalam satu kelompok yang sama. Jika gejala ini dikesan, segeralah dapatkan bantuan dan rawatan.

6. Perasaan bersalah, rendah diri, dan rasa kurang harga diri.

Mereka yang mengalami gejala kemurungan juga akan dilihat sering menangis dan kesedihan kerana melayan perasaan sendiri seperti rasa bersalah, rasa rendah diri dan rasa kekurangan yang sangat kuat dalam diri meraka. Mereka tidak dapat memikirkan atau mengimbau kenangan manis atau perkara positif dan baik yang mereka pernah lakukan.

7. Gangguan fikiran.

Gangguan perasaan tadi adalah berkait rapat dengan gangguan mental dan fikiran. Fikiran mempengaruhi tindakan pastinya. Apabila terlalu runsing dan tidak menemui jalan penyelesaian, manusia boleh hilang kewarasan berfikir. Gangguan fikiran akan menyebabkan prestasi diri semakin merundum dan cenderung tindakan hanya akan mengikut perasaan.

8. Perasaan ingin mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Apabila fikiran terganggu dan perasaan terganggu maka tindakan akan menjurus kepada tindakan yang negetif. Apabila perasaan sedih, tidak berguna, rendah diri dan rasa bersalah membelenggu diri, tindakkan mencederakan diri atau membunuh diri akan terlintas difikiran. Tiada satu pun perkara positif yang akan timbul difikiran apabila perasaan dan fikiran tertekan.

Bagi muslim yang menghadapi masalah ini, kekeliruan mula akan timbul apabila mereka merasa seperti mendengar “suara orang ketiga” tetapi sebenarnya hanyalah halusinasi mereka sahaja. Gejala inilah yang paling kronik dan merbahaya jika dibiarkan.

Begitulah tadi gejala atau simptom yang boleh kita kesan dari mereka yang mengalami kemurungan. Bertindak ketika ia baru bermula, jangan tunggu gejala semakin teruk baru ingin mendapatkan rawatan. Rawatan awal akan menyelamatkan nyawa.

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

CommentLuv badge

Previous post:

Next post: